Friday, September 4, 2009

Isu Tarian Pendet selesai – TPM

Isu Tarian Pendet selesai – TPM

PUTRAJAYA 3 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, klip video 30 saat yang sebahagian kecilnya memaparkan Tarian Pendet diterbitkan oleh Discovery Networks Asia-Pacific dan tidak ada kena mengenai dengan pihak berkuasa di Malaysia.

Kata Timbalan Perdana Menteri, penerbit itu juga telah menjelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf kepada kerajaan Indonesia berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, penerbit dokumentari berkenaan telah menjelaskan situasi sebenar melalui sepucuk surat kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Jero Wacik.

Sehubungan itu, beliau berharap isu Tarian Pendet dari Bali yang didakwa dicuri oleh Malaysia selesai.

“Penerbit klip itu telah menulis memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar bahawa filem tersebut bukan datang daripada pihak berkuasa Malaysia tapi dilakukan oleh mereka.

“Saya harap episod ini terhenti di situ dan segala penjelasan diterima oleh pihak Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan di sini hari ini.

Penayangan klip komersial yang mengandungi elemen Tarian Pendet bagi mempromosi siri dokumentari Enigmatic Malaysia di Discovery Channel telah menimbulkan kemarahan Kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Situasi menjadi bertambah buruk apabila pihak media massa tempatan membuat tuduhan melulu menyatakan Malaysia sengaja mencuri kebudayaan Indonesia untuk melariskan pelancongan sendiri.

Ekoran kontroversi tersebut, berlaku demonstrasi bantahan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta selain panggilan bom palsu dan bendera Jalur Gemilang dibakar.

Menurut Muhyiddin, sepatutnya perkara itu tidak berbangkit memandangkan iklan yang disiarkan bukan dihasilkan oleh mana-mana pihak di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen memberitahu, beliau ada menerima salinan surat berkenaan daripada Discovery Networks Asia-Pacific.

Katanya, surat berkenaan dihantar kepada Kerajaan Indonesia sebaik sahaja kontroversi Tarian Pendet timbul.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

No comments: